KOTA KINABALU: Seorang anggota polis putus kaki kanan apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Lintas, berhadapan City Mall, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa berpangkat Koperal berusia 35 tahun yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dalam perjalanan ke tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati menurut saksi kejadian, pemandu kenderaan jenis Jeep dikatakan dilihat membuat pusingan U di tempat yang salah.
Katanya, saksi kejadian telah membunyikan hon untuk memberi amaran kepada pemandu namun kenderaan itu telah masuk ke laluan sebelah.
“Mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah Kolombong menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sedang bergerak lurus tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku perlanggaran dengan kenderaan Jeep berkenaan.
“Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa mengalami putus kaki kanan sehingga bahagian betis akibat terkena pada besi hadapan kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal oleh pihak ambulans di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.
“Pemandu kereta Jeep tidak mengalami sebarang kecederaan dan disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan sampel darah pemandu Jeep diambil di HQE II dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk dianalisa kandungan alkohol dan dadah dalam darahnya,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, kenderaan Jeep itu turut ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X