Search

Warga emas ditemui mati dalam rumah berkunci

April 16, 2023

admin

TAWAU: Seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia dalam sebuah rumah berkunci, di Kampung Tanjung Batu Tengah, di sini, pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Indoktang berusia lingkungan 70-an ditemui meninggal dunia oleh pasukan bomba yang dipanggil untuk membuka pintu rumah berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggil kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.53 pagi.

Katanya, sepasukan anggota kemudian bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 4 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau.

“Terdapat seorang mangsa terlibat iaitu warga emas wanita ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM (Kementerian Kesihatan).

“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan setelah memastikan tiada keberbahayaan lain operasi ditamatkan pada jam 10 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – Info X