PAPAR: Sekumpulan pemancing di Sungai Kogopon, di sini, gempar apabila menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung tanpa pakaian, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari berkenaan, sebaik mayat yang kembung dan mula mereput itu ditemui, pemancing terbabit terus menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, berdasarkan siasatan awal, mayat berkenaan ditemui dalam keadaan tanpa berpakaian dan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Katanya, mangsa dipercayai sudah beberapa hari meninggal dunia berdasarkan kepada keadaan mayat mangsa.
“Pemeriksaan awal mendapati tidak terdapat sebarang kesan kecederaan pada mana-mana bahagian tubuh mangsa.
“Setakat ini, pihak polis juga belum dapat memastikan punca sebenar kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, setakat ini, belum ada mana-mana pihak yang mengaku mengenali mangsa dan pihak polis juga tidak menerima laporan orang hilang dan belum ditemui bagi daerah Papar.
“Berdasarkan kepada tubuh badan mangsa, terdapat tato seperti bunga di lengan tangan kanan dan mangsa juga memakai anting-anting warna krom pada telinga kiri.
“Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) Kota Kinabalu, untuk tujuan proses bedah siasatan bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Sementara itu, Kamaruddin berkata, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, rakan-rakan atau jiran yang masih tidak dapat dikesan sehingga kini, diminta tampil Ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau balai polis berhampiran.
Katanya, orang ramai boleh membuat laporan polis dan seterusnya hadir ke hospital untuk proses pengecaman mayat dan membantu siasatan.
“Setakat ini, kes disiasat mengikut laporan mati mengejut,” katanya. – Info X