KOTA KINABALU: Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mahu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan dengan jelas pendiriannya berhubung kerjasama dengan parti nasional sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Timbalan Pengerusi GRS itu berpendapat perkara berkenaan tidak boleh dibiarkan tanpa jawapan yang jelas.
Beliau berkata, rakyat perlu tahu berhubung pendirian GRS, sama ada gabungan parti itu mahu bergabung dengan mana-mana blok persekutuan atau tidak.
“GRS mesti mengambil pendirian yang jelas berhubung penjajaran dengan Persekutuan sebelum pilihan raya yang akan datang.
“Adakah kita mahu bertanding di semua 73 kerusi secara solo, atau kita menggabungkan diri dengan mana-mana blok Persekutuan? Perkara ini tidak boleh dibiarkan samar-samar.
“Rakyat berhak mendapat kejelasan dan kejujuran,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan itu, Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mahu supaya diadakan Mesyuarat Perpaduan membabitkan semua parti dari Sabah, termasuk di luar GRS.
Katanya satu perbincangan secara terbuka perlu diadakan bagi membincangkan bagaimana melindungi hala tuju politik Sabah dan mengurangkan kebergantungan kepada Putrajaya.
“Saya pernah menyatakan perkara ini sebelum ini dan saya akan mengulanginya lagi, perpaduan adalah tugas,” katanya.
Beliau turut menggariskan langkah segera yang perlu diambil GRS termasuk perlunya Majlis Kepemimpinan GRS mengadakan messyuarat lebih kerap bagi menyelesaikan perkara dalaman dan menyediakan forum berstruktur kepada parti komponen untuk menyuarakan perkara berbangkit dan mencadangkan penambahbaikan.
Selain itu, beliau juga meminta supaya setiap parti komponen GRS diberi peranan tertentu atau digilirkan peranan masing-masing, mengumumkan pendirian GRS berhubung pakatan dengan parti nasional sebelum PRN17 dan mengadakan Mesyuarat Perpaduan Sabah bagi meneroka kerjasama yang lebih luas dalam kalangan parti tempatan.
“Ini bukan mengenai ego atau kedudukan, ia berkaitan usaha memulihkan keadaan dan integriti dalam gabungan kita sendiri.
“Jika kita tidak boleh menyelesaikan apa yang rosak di dalam GRS, kita berisiko kehilangan mandat yang diberi kepercayaan kepada kita.
“Kita perlu bangkit daripada politik peribadi, kita buktikan bahawa kita serius mengenai memimpin Sabah bersama,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu mengulas mengenai kebimbangan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengenai bagaimana GRS seharusnya berfungsi.
Jeffrey berkata, beliau memahami kekecewaan Pandikar dan bersetuju terhadap perkara dibangkitkannya yang perlu diberi perhatian serius.
Jelasnya, GRS mesti memperbaiki bagaimana ia beroperasi sebagai sebuah gabungan yang mana ahlinya mesti saling menghormati dan kerja berpasukan, selain mengutamakan perundingan yang bermakna.
“Setiap parti komponen, tanpa mengira sama ada ia mempunyai kerusi atau tidak, layak untuk didengari dan dilayan dengan bermaruah.
“Tidak wajar pemimpin muda mengkritik atau merendahkan pemimpin senior secara terbuka, ini bukan cara kerja gabungan yang bertanggungjawab.
“Isu dalaman mesti dibangkitkan dalam forum yang betul, iaitu Majlis Kepemimpinan GRS dan GRS mesti bersedia menerima perkara yang dibangkitkan secara terbuka dan matang,” katanya. – Info X