Search

PRN17: Jentera Wanita Gagasan Rakyat giat kenal pasti pengundi

May 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jentera Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sudah mula bergerak aktif mengenal pasti dan mendekati pengundi di kawasan masing-masing bagi memastikan kemenangan calon kerajaan pada PRN17.

Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din berkata langkah awal mendekati pengundi penting bagi memastikan tidak berlaku keciciran data pengundi di kawasan masing-masing.

Katanya, usaha itu adalah langkah penting yang harus dimulakan lebih awal dan diteruskan secara konsisten bagi mengelakkan masalah apabila tiba hari pengundian nanti.

“Sememangnya jentera kita sudah mula bekerja dan apa yang saya tekankan khasnya untuk sayap Wanita bahagian Likas adalah peka terhadap kawasan sekeliling dan bergerak secara aktif untuk pastikan kenalan di kiri kanan kita berdaftar sebagai pengundi dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ini amat penting dan komitmen ahli jawatan kuasa dalam sayap adalah kekuatan yang akan bersama-sama menyumbang kepada gerak kerja ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Wanita Gagasan Rakyat Likas di sini, pada Ahad.

Halizah berkata, jentera Wanita Gagasan Rakyat Likas sentiasa terbuka untuk membantu operasi jentera calon mewakili kerajaan di sekitar kawasan berkenaan pada PRN17 nanti.

Dalam pada itu, Halizah turut meminta semua jentera Wanita Gagasan Rakyat Likas agar berusaha dalam menambah bilangan keahlian di peringkat cawangan.

“Penting untuk kita konsisten dalam usaha menambah bilangan ahli kerana ini adalah bukti kekuatan dan kepercayaan rakyat kepada Gagasan Rakyat.

“Untuk ini, bukan hanya sayap Wanita, bahkan sayap Pemuda dan Beliawanis juga perlu sentiasa berusaha untuk menambah bilangan keahlian di semua cawangan demi untuk menyumbang kepada pertambahan bilangan ahli parti secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Halizah menekankan jentera Wanita Gagasan Rakyar Likas terus menyokong kepimpinan Kerajaan Negeri dalam membawa pembangunan kepada seluruh negeri dan rakyat Sabah.

“Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kini terbukti menyampaikan apa yang dijanjikan, insyaAllah semua pasti dapat disusun atur dan direalisasikan.

“Lihat saja perubahan kita selepas kepimpinan Kerajaan Negeri bertukar, pelbagai insentif dan usaha kerajaan untuk membantu rakyat Sabah dari pelbagai golongan masyarakat dan lapisan usia.

“Untuk itu, wajar jika kita semua meletakkan keyakinan serta kepercayaan kita untuk parti dan ketua kita, Datuk Seri Hajiji Noor yang sememangnya figura pemimpin penuh sopan santun dan berhemah dalam setiap langkahnya,” katanya.

Halizah juga menyeru semua masyarakat tidak menilai dan membuat persepsi negatif kerana terpedaya dengan kandungan dakyah pihak pembangkang di media sosial.

“Media sosial ada kebaikan namun ada keburukannya juga kerana ada pihak yang suka menjadikan platform ini sebagai wadah mereka ‘membentuk’ acuan pemikiran rakyat supaya negatif kepada usaha Kerajaan Negeri masa ini.

“Oleh itu, sebagai rakyat, kita mesti berfikiran terbuka, matang dan menilai dengan bijak sesuatu isu atau idea yang dibangkitkan dalam media sosial, bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa perjuangan politik pentingkan diri,” katanya. – Info X