Search

Lelaki disamun ketika beli sayur

May 5, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian samun membabitkan seorang mangsa yang sedang membeli sayur di sebuah kebun di kawasan Hilltop, di sini.

Suspek berusia 40-an ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di Kampung Sentosa, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku pada Rabu lalu ketika mangsa lelaki ke Hilltop, untuk membeli sayur dan dihampiri seorang lelaki dan meminta ‘duit rokok’, namun mangsa tidak diendahkan.

“Tidak lama kemudian, dua lelaki tidak dikenali muncul dan bertindak mencederakan mangsa sebelum melarikan beberapa barangan miliknya.

“Mangsa berusia 57 tahun yang ketakutan turut menyerahkan sejumlah wang tunai kepada suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas laporan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau melancarkan operasi dan berjaya menahan salah salah seorang suspek di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sentosa.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai berkaitan dengan kes tersebut.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di balai polis. Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan semasa melakukan samun. – Info X