Search

Minta Pandikar bersara umpama desak semua pemimpin veteran undur diri

May 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gesaan meminta Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia bersara selepas ‘menghentam’ Gabungan Rakyat Sabah (GRS), baru-baru ini disifatkan seperti mendesak semua pemimpin veteran dalam GRS mengundur diri.

Bekas Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kapayan, Jafery Jomion yang mempersoalkan gesaan supaya Pandikar Amin bersara atas faktor usia berkata perkara berkenaan tidak adil memandangkan hampir semua pemimpin tertinggi GRS juga berumur lebih 60 tahun.

“Faktor umur tidak penting, tapi keberanian memimpin dengan sepenuh tenaga dan kebijaksanaan mencari kewangan untuk semua jentera parti dan rakyat.

“Ini kerana tanpa pemimpin veteran ini, siapa lagi yang berani bersuara ikut fakta kebenaran dan hidup seperti lilin membakar diri untuk memberi cahaya kepada keluarga dan anak yang masih dalam kegelapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan bahawa pemimpin muda tidak sepatutnya terlalu angkuh walaupun kini berada dalam kerajaan.

Terdahulu, Jafery menasihatkan pemimpin muda GRS tidak bersikap keterlaluan ketika mengulas mengenai rakan dalam gabungan itu.

Katanya, tindakan Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bingkor, Rafie Robert menyarankan supaya USNO disingkirkan daripada GRS adalah tidak wajar.

“Pepatah ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’ seharusnya menjadi amaran kepada Rafie yang sudah keterlaluan dan kurang beretika menghalau USNO keluar dari GRS hanya kerana Presiden USNO (Tan Sri Pandikat Amin Mulia) berbicara mengenai demokrasi dan hak Wilayah Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Beliau (Pandikar Amin) bukan ikut sedap mulut bercakap dengan cara angkat kaki walaupun dia juga mampu menjadi seorang ‘penjilat’ kerana ilmunya dalam politik bukan sekadar setahun jagung.

“Tapi, kerana kebenaran fakta, beliau kembali menjadi seperti harimau muda yang penuh berapi membakar semangat dan kesedaran rakyat walaupun sudah di usia senja dan bertongkat ke hulu, ke hilir demi hak kita bersama,” katanya.

Jelasnya, kerajaan hari ini bukan atas kekuatan solo, tapi hasil gabungan dari pecah perintah oleh pemimpin yang disatukan dan bantuan dari beberapa ADUN keluar parti yang disokong pemimpin GRS sendiri.

Katanya, GRS atau Gagasan Rakyat juga belum terbukti kuat atau menang banyak kerusi kerana fakta PRN lalu Gagasan Rakyat dan USNO juga menerima nasib yang sama atau kalah teruk serta hilang wang deposit.

“Adakah USNO perlu dimalukan kerana tiada kerusi yang dimenangi dan hanya kerana bersuara demi fakta yang selari dengan perjuangan sebenar parti tempatan seperti yang selalu kita sebut mahu jadi macam Sarawak.

“Tapi bila pemimpin mula bercakap dan memimpin macam Sarawak, badut sudah mula memalukan keluarga sendiri.

“Inikah cara setiakawan dalam gabungan menegur untuk kebaikan yang berpaksikan demokrasi tetapi ahli keluarga sendiri dihukum dan dihalau keluar rumah oleh anak muda yang baru belajar bercakap, sedangkan anak yang lebih tua hanya berdiam diri.

“Inikah contoh pemimpin muda yang berakal, perlu diangkat dan dihormati untuk menggantikan pemimpin veteran di masa akan datang,” soalnya.

Jafery menegaskan bahawa tindakan menyisihkan parti rakan hanya kerana tidak sependapat seharusnya dielakkan demi memperkukuh GRS.

“Biarlah kita perkuatkan GRS mengikut acuan awal yang pernah Ketua Menteri kita sebutkan iaitu ‘rumah kita, kita jaga dan inilah sebenarnya asas perjuangan kita.

“Kalau bukan sekarang, bila lagi dan kerana ayat ini jugalah yang menjadikan Perikatan Nasional (PN) dari Malaya terkubur dan akhirnya menjadi gabungan tempatan seperti GRS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dari Malaya juga menjadi Gagasan Rakyat seperti yang kita nampak hari ini,” katanya. – Info X