BELURAN: Pemandu dan kelindan maut selepas lori dinaiki mereka terbabas masuk ke dalam gaung di Jalan Beluran/Paitan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, pemandu lori berusia 44 dan kelindan berusia 25 tahun disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati lori bawa muatan baja dari arah Lahad Datu menuju ke Paitan.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati sebuah lori yang membawa muatan baja dipercayai hilang kawalan kemudian terbabas dan masuk ke dalam gaung.
“Akibat kejadian itu, pemandu dan kelindan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan terbabas dan masuk ke gaung dipercayai akibat mengalami masalah teknikal iaitu brek gagal berfungsi.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 34 saat memaparkan sebuah lori hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke gaung. – Info X