KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyeru kerajaan negeri supaya menawarkan biasiswa kepada pelajar miskin, Arnie Jaliusih yang berjaya memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.
Arnie dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad, Kiulu merupakan antara 75 pelajar terbaik STPM 2022 di Sabah.
Kisah pengorbanan keluarganya yang terpaksa meminjam duit dari penduduk kampung bagi membolehkan mereka dan Arnie menghadiri majlis penghargaan pelajar cemerlang STPM, di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, di sini, menjadi tular di media sosial sejak semalam.
Simpati dengan nasib pelajar yang berasal dari Kampung Sinansag, Kiulu itu, Naib Presiden KDM, Henry Saimpon berkata, pencapaian cemerlang Arnie meskipun dari keluarga miskin wajar diberi pertimbangan khas untuk mendapatkan biasiswa.
Henry yang juga ketua KDM Tuaran yang berasal dari Kiulu turut berharap impian anak penoreh getah itu untuk menjadi seorang guru akan menjadi kenyataan.
“Saya amat bersimpati dan terkejut apabila terbaca di sebuah portal berita NST semalam, mengenai keperitan hidup keluarga Arnie sehingga terpaksa meminjam wang dari penduduk untuk menghadiri majlis penghargaan itu.
“Bagi saya pelajar cemerlang wajar ditolong, mungkin ramai lagi pelajar yang berada dalam situasi sama yang memerlukan pembelaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Henry turut menyeru kerajaan negeri supaya memperhebatkan lagi program membasmi kemiskinan di Sabah, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.
“Sudah tiba masanya juga KDM Tuaran menperhebatkan “Program Mendekati Rakyat” termasuk golongan muda dalam masa terdekat bagi menyelami dan mendalami keluhan rakyat peringkat akar umbi terutama DUN Kiulu dan Tamparuli.
“Kisah sedih seperti ini tidak sepatutnya berlaku jika ada ‘engagement’ yang akrab dengan penduduk khususnya di kawasan terpencil,” katanya. – Info X