Search

Pencarian remaja hilang di Sungai Telibong diteruskan

July 14, 2023

Info X Reporters

TUARAN: Pencarian seorang remaja yang hilang di Sungai Telibong, di sini sejak 8 Julai lalu masih diteruskan dengan bantuan pelbagai pihak.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkenaan dipanjangkan sehingga jarak 17.6 kilometer bermula dari lokasi kejadian di Sungai Telibong ke muara Sungai Kampung Bolong sehingga ke kawasan pantai laut Shahbandar.

“Operasi SAR menghadapi pelbagai cabaran getir dengan keadaan sungai dan faktor cuaca yang tidak menentu selain kehadiran hidupan liar yang boleh mengancam keselamatan pihak penyelamat.

“Setakat ini seramai 80 orang pasukan SAR yang terdiri daripada anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, Tiger Platun Pasukan Gerakan AM (PGA), Unit Selam Pasukan Polis Marin (PPM), Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Tuaran, Unit Selam JBPM, Unit K-9 JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). 

“Turut membantu Pejabat Daerah Tuaran, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Tuaran, Jabatan Penerangan Tuaran, Majlis Daerah Tuaran, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Pejabat Kesihatan Tuaran, RELA, Pejabat Perhubungan Ahli Parlimen Tuaran, Pejabat ADUN Tamparuli dan Pejabat Perhubungan ADUN Sulaman,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, operasi ini juga turut dibantu Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuklah Pejabat UPPM Tamparuli, Dalit dan Sulaman, Kelab Pengendali Dron D’ Bayu Kinabalu, pihak persendirian, penduduk kampung dan lain-lain lagi. 

Dalam pada itu, Noraidin menegaskan agar sebarang aktiviti mandi-manda di sungai atau laut dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini hendaklah dihentikan.

“Ibu bapa hendaklah sentiasa memantau pergerakan anak agar menjauhi aktiviti di sungai, laut atau masuk ke hutan untuk tujuan keselamatan.

“Kita juga mengalu-alukan segala bentuk bantuan, kepakaran dalam operasi ini dengan berjumpa dengan pihak polis terlebih dahulu di Pos Kawalan Hadapan Operasi Mencari dan Menyelamat yang pada masa kini berada di Jambatan Batangan, Tuaran,” katanya. – Info X