TENOM: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki terhumban ke dalam gaung sedalam 25 meter di Kampung Lagud, Jalan Tenom – Keningau, di sini, hari ini.
Lelaki berusia lingkungan 50 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D Max itu hanya cedera ringan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 9.59 pagi.
Katanya, sepasukan anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Isuzu D Max terbabas sendiri ke gaung sedalam 25 meter.
“Terdapat seorang mangsa terbabit dilaporkan mengalami cedera ringan berjaya dinaikkan ke atas jalan raya menggunakan sistem takal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya dihantar ke hospital oleh keluarganya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pasukan bomba membuat pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi dan operasi ditamatkan pada jam 10.45 pagi,” katanya. – Info X