Search

Pemandu lori maut tersepit selepas terbabas di Tenom

January 20, 2026

Info X Reporters

TENOM: Seorang pemandu maut selepas lori 10 tan membawa muatan bibit sawit yang dipandunya terbabas di Pammos View, Kampung Pamilan Batu 15.5, Jalan Tenom – Keningau, di sini, petang tadi.

Mangsa lelaki berusia 38 tahun dilaporkan tersepit di bahagian belakang kanan tayar lori dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.42 petang.

Menurutnya, seramai lima anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.

Pemandu lori yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia.

“Setibanya di lokasi pada jam 3.06 petang, pasukan mendapati sebuah lori 10 tan membawa muatan bibit sawit telah terbabas di tepi jalan.

“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori dilaporkan tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai cuba terjun dari lori sebelum kenderaan itu terbabas, namun tersepit di bahagian belakang kanan tayar lori berkenaan.

Lori dipandu mangsa yang membawa muatan bibit kelapa sawit terbabas di Pammos View, Kampung Pamilan Batu 15.5, Jalan Tenom – Keningau, Tenom.

Katanya lagi, operasi mengeluarkan mangsa dijalankan dengan bantuan sebuah jentera berat jenis excavator bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat.

“Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan serta siasatan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.24 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya. – Info X