Search

PPM diingat laksanakan tugas dengan penuh integriti

January 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menasihatkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) agar menjalankan tugas dengan penuh integriti sejajar peranan mereka mewakili Kerajaan Negeri di kawasan masing-masing.

Beliau berkata PPM yang berkhidmat di kawasan pembangkang, khususnya, memikul tanggungjawab yang besar untuk meraih kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri pimpinan GRS.

“Selain mematuhi arahan kerajaan, peranan PPM di kawasan pembangkang adalah mencabar, mereka adalah mata dan telinga kerajaan. Laksanakanlah tugas dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis angkat sumpah fasa kedua bagi 35 PPM, yang mana kebanyakannya akan berkhidmat di kawasan diwakili pembangkang di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.

Seramai 45 PPM sudah mengangkat sumpah jawatan ketika majlis angkat sumpah pertama yang diadakan pada 13 Januari lalu.

“PPM mesti menjaga imej kerajaan. Jangan lakukan sesuatu perkara demi kepentingan peribadi. Jika saya mendapati ada yang mengejar kepentingan sendiri dan mengabaikan rakyat, saya tidak akan teragak-agak untuk memecat mereka.

“Jangan salah gunakan kuasa tetapi berikan keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.

Hajiji juga menegaskan semula bahawa PPM mesti menjelaskan kepada peringkat akar umbi mengenai dasar, inisiatif dan pencapaian Kerajaan Negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Turut hadir ialah menteri-menteri kabinet dan Pengarah Unit PPM, Datuk Awang Kadin Tang. – Info X