Search

Pemandu mabuk rempuh empat kenderaan dipenjara enam bulan, denda RM10,000

January 22, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 selepas dia mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk pada 26 Julai tahun lalu.

Tertuduh, Subrany Ibrahim, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan selesai dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, Subrany melakukan perbuatan itu pada jam 1.45 pagi di Jalan Tanjung Batu, di sini.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati, kandungan alkohol dalam darah tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Ketika kejadian tertuduh memandu kenderaan selepas keluar dari sebuah kelab malam dan apabila tiba di lokasi kejadian, tertuduh telah hilang kawalan pemanduan lalu terbabas dan merempuh empat buah kenderaan yang sedang parkir di bahu jalan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara satu bulan jika gagal membayar denda dan lesen memandu digantung selama dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X