PENAMPANG: Tindakan seorang pemandu tersilap menekan pedal minyak menyebabkan keretanya merempuh kenderaan lain sebelum terperosok masuk ke dalam sebuah kedai di Plaza Mahkota Putatan, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kedua-dua pemandu kenderaan Proton Saga Aeroback dan Toyota Vios bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal, pemandu salah sebuah kereta berkenaan dikatakan cuba keluar daripada petak parkir.
Bagaimanapun katanya, pemandu terbabit dipercayai tersalah menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan secara mengejut.
“Kenderaan mangsa terus merempuh sebuah kenderaan dihadapannya sebelum terperosok masuk ke dalam sebuah kedai menjual peralatan eletronik.
“Tiada mangsa yang dilaporkan cedera sama ada pemandu ataupun pekerja dan pemilik di premis perniagaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sammy berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Peraturan 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.
Sehubungan itu, Sammy berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memuatnaik sebarang informasi tidak sahih di mana-mana platform media sosial.

Katanya, ia bagi mengelakkan timbul sebarang salah faham dam kegusaran dalam kalangan orang awam. – Info X