KENINGAU: Seorang pemandu maut manakala dua lagi penumpang cedera selepas kereta dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori yang parkir di tepi Jalan Kampung Bakiau, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Gerit Polong, 35, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dalam kereta jenis Perodua Viva.
Manakala dua penumpang lelaki berusia 19 dan 25 tahun cedera dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan pegawai dan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 1.02 pagi.

Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva merempuh belakang sebuah lori yang parkir di tepi jalan.
“Terdapat tiga mangsa dilaporkan tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba seterusnya diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala dua mangsa dihantar ke hospital menaiki ambulans dan jentera EMRS bomba untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan pada 1.40 pagi,” katanya. – Info X