KUDAT: Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berharap, projek pembinaan patung Mazu (Dewi Laut), di Kudat, yang sebelum ini terbengkalai sejak lebih 20 tahun lalu akan dapat dibangunkan semula.
Katanya, pembinaan patung Mazu yang tertinggi di dunia itu selepas siap nanti mampu menjadi satu lagi daya tarikan pelancongan di daerah berkenaan selepas ‘The Tip Of Borneo’ Simpang Mengayau.
“Apa saja konflik pada masa lepas boleh diselesaikan secara baik untuk manfaat rakyat Kudat dan ekonominya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Liew berkata, beliau akan bertemu dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagi membincangkan perkara itu untuk pertimbangan kelulusannya.
Pembinaan patung Mazu pada 2005 dengan ketinggian 33 meter itu sebelum ini dirancang di atas tanah persendirian menghadap menghadap ke laut dengan kos RM5 juta.
Projek itu dimulakan bekas ketua menteri Tan Sri Chong Kah Kiat yang ketika itu menjadi pengerusi Yayasan Amal Kudat Thean Chou.
Semua kertas kerja projek itu selesai dan asasnya dibina apabila perintah berhenti kerja dikeluarkan pada 25 Mei 2006 sementara menunggu kelulusan ketua menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Musa Aman.
Perintah berhenti kerja itu berdasarkan bantahan masyarakat Islam, atas alasan pembinaannya terlalu dekat dengan madjid bandar iaitu kira-kira 700 meter.
Pada 2011, Musa menawarkan tapak baharu bagi projek berkenaan iaitu di Pantai Bak Bak. – Info X