Pencapaian terbaik MA63 dilakar Kerajaan MADANI – Mustapha

November 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merekodkan pencapaian terbaik sejak sedekad lalu apabila 12 daripada 29 perkara berjaya diselesaikan dalam tempoh empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata pencapaian itu antara usaha dilaksanakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah genap empat tahun mentadbir negara, semalam.

Beliau berkata, usaha diteruskan lagi bagi memastikan pelaksanaan MA63 dijadikan agenda nasional menerusi amanah yang diberikan kepadanya selaku menteri yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak.

“Dalam menjalankan amanah kini, keutamaan saya ialah memastikan pelaksanaan MA63 terus diangkat sebagai agenda nasional.

“Antara perkembangan setakat ini ialah pewartaan Pemberian Khas interim Sabah pada kadar RM1.5 bilion setahun, pelancaran Dashboard MA63 untuk memudahkan semakan orang ramai dan permulaan libat urus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.

“Karnival MADANI Kenali Borneo yang bermula di Melaka baru-baru ini turut membuka ruang untuk lebih ramai rakyat memahami sejarah pembentukan Malaysia serta kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan sempena empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

Selain berkaitan MA63, Ahli Parlimen Sepanggar itu turut memperincikan beberapa pencapaian lain sepanjang berkhidmat dalam dua portfolio yang diamanahkan kepadanya sebelum ini sebagai timbalan menteri.

“Bermula sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia, kemudian Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, dan kini sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), setiap amanah memberi saya peluang untuk mendengar sendiri keperluan rakyat dan membawa suara mereka ke peringkat Persekutuan.

“Di Kementerian Sumber Manusia, saya terlibat dalam libat urus pindaan Ordinan Buruh Sabah yang kini memberi pekerja perlindungan lebih baik, termasuk cuti bersalin 98 hari, cuti paterniti bagi yang layak dan waktu kerja biasa 45 jam seminggu.

“Di Kementerian Pendidikan Tinggi, antara usaha yang dekat di hati saya ialah membantu anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian, memperluas capaian Jom Masuk U, memperkasa hak mahasiswa dan membuka ruang untuk siswa menyuarakan pandangan melalui forum TALK TO US,” katanya.

Mustapha berkata, sorotan pencapaian itu dijadikan peringatan agar bekerja lebih keras dan berkesan memandangkan masih banyak yang perlu diselesaikan bagi memastikan rakyat dapat merasai ‘islah’ atau reformasi yang dibawakan Kerajaan Madani.

“Saya mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik kepada YAB Perdana Menteri dan sentiasa mengurniakan beliau hikmah dalam memimpin Malaysia serta rantau ini mendepani cabaran geopolitik dan geoekonomi yang semakin rumit.

“Semoga Allah SWT mempermudah segala usaha kita demi Malaysia yang makmur dan disegani dunia,” katanya. – Info X