RANAU: Pendaki Gunung Kinabalu berdepan detik mencemaskan berikutan aliran air yang deras dari puncak gunung di sepanjang laluan ketika melakukan pendakian awal pagi tadi disebabkan hujan lebat.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi Mount Kinabalu, beberapa malim gunung iaitu Luke, Japarin, Ewon, Fredie dan Ronny memaklumkan cuaca berubah mendadak sejak awal pagi, menyebabkan laluan menjadi licin dan berair, terutama di kawasan berbatu dan berhampiran anak sungai.
Menurut mereka, keadaan seperti ini bukan luar biasa namun tetap berisiko tinggi setiap kali hujan lebat berlaku.
“Laluan boleh menjadi sangat licin, malah aliran air yang deras dari puncak boleh mengancam keselamatan pendaki.
“Kami sentiasa ingatkan pendaki supaya berhenti dan berteduh jika keadaan berbahaya. Jangan ambil risiko mendaki sendirian atau tanpa malim gunung,” kata salah seorang malim gunung yang bertugas.
Pihak Taman-Taman Sabah (TTS) turut mengeluarkan peringatan supaya semua pendaki mematuhi arahan keselamatan serta tidak meneruskan pendakian tanpa pengawasan.
Pendaki juga dinasihatkan membawa pakaian hujan dan kelengkapan asas keselamatan setiap kali mendaki.
Sejak pagi tadi, tular beberapa video di media sosial memaparkan keadaan mencemaskan termasuk insiden seorang pendaki tergelincir akibat aliran deras, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Setakat tengah hari tadi, tiada insiden tidak diingini berlaku dan pemantauan masih diteruskan oleh petugas TTS bersama malim gunung bagi memastikan keselamatan pendaki yang berada di laluan.
Gunung Kinabalu yang berketinggian 4,095 meter terus menjadi tumpuan pendaki dari dalam dan luar negara, namun faktor cuaca kekal menjadi elemen penting dalam menentukan kelancaran pendakian.
Pihak berkuasa turut menasihatkan mereka yang merancang untuk mendaki dalam waktu terdekat agar memantau ramalan cuaca dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan sebelum memulakan pendakian. – Info X