KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipenjara empat tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana menjadi keldai akaun dalam satu skim pelaburan tidak wujud, antara Disember 2024 hingga Januari lalu.
Tertuduh, Wilson Anak Penchen, 40, didakwa terbabit dalam transaksi menggunakan akaun miliknya untuk penipuan dan pemerdayaan skim pelaburan tidak wujud hingga menyebabkan seorang pemilik taska kerugian lebih RM2 juta.
Keputusan itu dibuat Hakim Amir Shah Amir Hassan setelah selesai mendengar pengakuan tertuduh dan menetapkan hukuman penjara dilaksanakan bermula pada tarikh sabitan, 10 Julai, iaitu hari ini.
Mahkamah turut membenarkan Wilson menjalani hukuman di Penjara Puncak Borneo, Kuching, Sarawak memandangkan tertuduh kini menjalani hukuman penjara di sana atas kesalahan Seksyen 424B Kanun Keseksaan kerana membenarkan akaunnya digunakan untuk penipuan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa terbabit secara langsung dalam satu transaksi berjumlah RM111,668 melalui akaun miliknya di taska milik mangsa di Penampang bermula 25 Disember 2024 hingga 7 Januari 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak kurang RM10,000 serta tidak melebihi RM150,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – Info X