Search

Tun M sambut ulang tahun ke-100 hari ini

July 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekas Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut ulang tahun ke-100 hari ini.

Perdana Menteri paling lama berkhidmat, selain memecah rekod menjawat jawatan itu sebanyak dua kali menerima ucapan selamat hari lahir daripada pelbagai pihak.

Mereka termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan ucapan itu melalui Facebook beliau, hari ini.

“Selamat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-100 kepada Tun Dr Mahathir bin Mohamad.

“Saya dan Azizah mendoakan setulusnya agar Tun terus dikurniakan kesejahteraan, ketenangan jiwa, dan kekuatan tubuh dalam menjalani kehidupan dengan penuh makna.

“Gaya hidup sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap punya harapan yang tinggi.

“Semoga Allah SWT terus merahmati Tun, Insya-Allah,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook beliau.

Anwar pernah berkhidmat bersama Tun Dr Mahathir atau turut dikenali sebagai Tun M sebelum peristiwa pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 yang mendorong kebangkitan reformasi dan menyaksikan penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Anwar hingga ke hari ini.

Tun M yang dilahirkan pada 10 Julai 1925 adalah seorang doktor yang menjadi ahli politik dan berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat selama 22 tahun bermula pada usia 56 tahun dari 1981 hingga 2003.

Ketika itu, Tun M yang menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu dari 1974 hingga 2004 mengetuai kerajaan di bawah lambang Barisan Nasional (BN) selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Beliau kemudian sekali lagi menjadi Perdana Menteri, iaitu sebagai Perdana Menteri Ketujuh yang berkhidmat selama dua tahun bermula dari usia 93 tahun dari 2018 hingga 2020.

Pada masa itu pula, Tun M adalah Presiden BERSATU dan Ahli Parlimen Langkawi, dipilih sebagai Perdana Menteri di bawah kerajaan yang dibentuk oleh Pakatan Harapan (PH) bersama BERSATU dan Parti Warisan Sabah.

Pencapaian itu menjadikan Tun M sebagai Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat dan yang pertama menyandang jawatan itu sebanyak dua kali, selain antara pemimpin tertua di dunia menjawat jawatan Perdana Menteri ketika menjadi Perdana Menteri Ketujuh. – Info X