KUNDASANG: Seorang pendaki gunung Kinabalu diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami cedera buku lali kaki kanan di Panarlaban, Gunung Kinabalu, hari ini.
Pendaki wanita berusia 26 tahun terbabit dilaporkan sukar bergerak dan perlu mendapatkan bantuan bagi membawanya turun mendapatkan rawatan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.30 pagi.
Katanya, susulan laporan itu sepasukan tujuh anggota MOSAR dan kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat terus memberikan rawatan awal dengan menyabu oil sport dibahagian yang cedera dan membalut kaki mangsa menggunakan bandage.
“Mangsa seterusnya di bawah turun ke Timpohon Gate menggunakan kaedah piggyback carring,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X