Search

Pendaki wanita cedera diselamatkan MOSAR

March 7, 2023

admin

RANAU: Seorang wanita diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kecederaan ketika mendaki gunung di kawasan Panarlaban, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, wanita warga tempatan berusia 38 tahun terbabit dilaporkan mengalami kecederaan terseliuh kaki dan bengkak buku lali .

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kpada jam 10.38 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta Malim Gunung dan anggota Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa kemudiannya dibawa turun menggunakan kaedah ‘piggyback’ ke Timpohon Gate dengan diiringi oleh pasukan Mosar dan Malim Gunung,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mangsa diberi rawatan awal sebelum dibawa turun ke Timpohon Gate.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan Ambulans untuk rawatan selanjutnya.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.22 petang. – Info X