RANAU: Seorang pendaki lelaki warga British meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika menuruni puncak Gunung Kinabalu, pagi tadi.
Pendaki berusia lingkungan 70-an dilaporkan tidak sedarkan diri di Kilometer 8.2 selepas Check Point Sayat-Sayat, Gunung Kinabalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.17 pagi.
Katanya, sepasukan lima pegawai dan anggota termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MoSAR) serta malim gunung dan anggota ParkSAR dikerah ke lokasi kejadian.
“Pasukan MoSAR bersama ParkSAR dan malim gunung telah memberi rawatan awal dan seterusnya mengangkat mangsa ke Panalaban Hut.
“Mangsa kemudian dibawa turun menggunakan ‘robinson stretcher’ sehingga ke Timpohon Gate.

Menurutnya, sebaik tiba di Timpohon Gate jam 5.08 petang, mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 5.21 petang,” katanya. – Info X