Search

Pendaki warga Slovakia alami AMS diselamatkan

March 21, 2023

admin

RANAU: Seorang pendaki warga Slovakia diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami ‘Acute Mountain Sickness’ (AMS) ketika mendaki gunung di Kilometer 4, Layang-Layang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 68 tahun itu dilaporkan mengalami masalah kesukaran untuk bernafas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.46 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta Malim Gunung dan kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

Pasukan MOSAR bersama Malim Gunung dan TTS mengangkat mangsa turun ke Timpohon Gate. – Foto Bomba

“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan MOSAR bersama TTS dan Malim Gunung memberi rawatan awal kepada mangsa.

“Mangsa kemudiannya diiringi turun ke Timpohon Gate menggunakan Robertson Strecher,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Ranau menggunakan kenderaan TTS.

“Operasi ditamatkan pada 4.40 petang,” katanya. – Info X