SANDAKAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang terperangkap dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang terkunci di Batu 14, Jalan Sepilok, di sini hari ini berjaya diselamatkan dengan bantuan bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.48 pagi.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kanak-kanak perempuan terperangkap di dalam kereta yang terkunci.
“Pasukan bomba berjaya membuka pintau kereta dan mengeluarkan mangsa terbabit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa diserahkan kepada keluarganya.
“Operasi ditamatkan pada 12.37 tengah hari,” katanya. – Info X