Search

Pengadil aksi Sabah FC, Penang FC digantung serta-merta

March 19, 2023

admin

KOTA KINABALU: Zulkarnain Zakaria yang mengadili perlawanan Liga Super antara Sabah FC dan Penang FC, di Stadium Likas, di sini, tempoh hari, digantung serta-merta oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman, berkata badan induk bola sepak negara itu membuat keputusan untuk menggantung Zulkarnain daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.

“FAM telah membuat keputusan dan tindakan berhubung beberapa insiden membabitkan pengadil yang berlaku pada perlawanan Liga Super, Sabah FC lawan Penang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat, 17 Mac.

“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang diketuai oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM telah bersidang semalam bagi meneliti laporan daripada Penilai Pengadil perlawanan tersebut serta klip-klip rakaman video setiap insiden berkenaan.

“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM telah sebulat suara mendapati bahawa pengadil perlawanan tersebut, Zulkarnain Zakaria telah terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah FC pada minit 41 dan minit 90+9.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM telah membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Azman berkata, Jawatankuasa Pengadil FAM memandangkan serius perkara berkenan dan akan memberikan peringatan dan teguran keras kepada semua pengadil agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik.

Katanya, Jawatankuasa juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan pada perlawanan-perlawanan Liga Malaysia 2023 akan datang. – Info X

Gambar Sabah FC