Search

Maritim Malaysia tahan bot nelayan gaji warga asing

March 18, 2023

admin

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan yang mengaji kru warga asing sebagai pekerja di perairan Pulau Mengalum, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang, bot nelayan itu dikesan pada jarak 13 batu nautika barat pulau berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pemeriksaan ke atas bot itu menemui seramai 15 kru termasuk tekong yang disyaki warga Filipina.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen pengenalan diri mendapati hanya empat individu memiliki pasport manakala 11 kru mengemukakan dokumen meragukan.

“Pemeriksaan dokumentasi turut mendapati lesen bot berkenaan sudah tamat tempoh.

“Selain itu, bot berkenaan menggunakan senapang sedutan atau tempuling dan racun bagi tujuan menangkap ikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua 15 kru, bot dan hasil tangkapan disita dan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959 dan Akta Perikanan 1985,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim untuk terus menyalurkan sebarang maklumat kesalahan jenayah laut yang berlaku di perairan negara khususnya di sekitar perairan negeri ini.

“Orang ramai boleh menghubungi talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Labuan di talian 088-387774,” katanya. – Info X