Search

Penganggur rempuh bank dipenjara 9 bulan, denda kerana memandu mabuk

February 13, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang penganggur dipenjara sembilan bulan dan denda RM11,300 kerana memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan, termasuk merempuh sebuah bank, di sini, pada Disember lalu.

Tertuduh, Mohd Shafiezan Hassan, 26, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Shafiezan didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan, tidak memiliki lesen memandu dan tiada polisi insuran.

Tertuduh juga menyebabkan kemalangan di Jalan Merdeka, di sini, ketika kejadian jam 4.15 pagi, pada 29 Disember lalu.

Kenderaan yang dipandu tertuduh didapati melanggar SST Room milik RHB Bank dan lima kenderaan lain yang berada di kawasan berkenaan.

Ujian saringan pernafasan mendapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh sebanyak 243 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Berikutan itu, tertuduh didakwa masing-masing mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 26(1) dan Seksyen 90(1) Akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Joan Lee dalam hujahnya meminta supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi sebagai pengajaran dan keinsafan kepada diri tertuduh.

Terdahulu, Don Stiwin mengeluarkan waran tangkap ke atas tertuduh selepas dia gagal hadir ke mahkamah, semalam.

Tertuduh berjaya ditangkap di rumahnya kira-kira jam 2.30 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT).

Pada 29 Disember lalu, media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan hilang kawalan sehingga merempuh pintu kaca sebuah bank dan lima kereta, di sini. – Info X