RANAU: Seorang lelaki yang dilaporkan tidak pulang ke rumahnya selepas keluar memancing di Sungai Gayo Nagas Ponulagon, Kampung Paus, di sini, sejak 3 Februari lalu, ditemui meninggal dunia, hari ini.
Mangsa Mokthar Azrin Amat, 30, ditemui oleh orang awam kira-kira 5 petang, di puncak bukit, kira-kira 15 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mangsa dikhuatiri hilang di sungai, pada 8.32 pagi tadi.
Katanya, menurut pengadu, mangsa telah keluar memancing jam 10 pagi, pada 3 Februari lalu dan pada 6 Februari lalu bapa mangsa ada menghubunginya dan dia memaklumkan akan balik pada 9 Februari.
“Namun sehingga 10 Februari lalu mangsa masih belum pulang ke rumah menyebabkan keluarganya datang mencari mangsa di lokasi memancing.
“Bagaimanapun hanya didapati motosikal mangsa berada di lokasi lalu melakukan pencarian di sepanjang Sungai Gayo Nagas Ponulagon namun gagal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam perjalanan ke lokasi untuk mendapatkan maklumat seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Perjalanan ke lokasi agak sukar kerana melalui jalan belukar dan berbukit. Kira-kira jam 5 petang tadi, ahli keluarga mangsa memaklumkan menemui mangsa di puncak bukit, kira-kira 15 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan bomba dalam perjalanan ke lokasi mangsa ditemui bersama agensi bantuan yang lain,” katanya.
Tambah beliau lagi, maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa. – Info X