KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan membuka permohonan untuk menjaja di bazar Ramadan seliaannya pada minggu depan.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan DBKK, permohonan itu dibuka secara dalam talian menerusi pautan borang E Bazar pada 18 Februari hingga 19 Februari 2025 ini.
Jelasnya, pautan Borang E-Bazar itu akan dikongsikan menerusi Facebook Rasmi DBKK bermula jam 10 pagi, 18 Februari 2025.
“Tapak lot adalah terhad dan berdasarkan ‘First Come, First Serve Basis’.
“Tapak lot bazar Ramadan di bawah seliaan DBKK ialah di Lintasan Deasoka, Indah Permai, Sembulan, Tanjung Aru dan Padang Merdeka Kota Kinabalu,” katanya.
Kenyataan itu menyebut, pemohon perlu menyediakan dokumen yang diperlukan bagi memudahkan proses pengisian Borang E-Bazar.
“Dokumen yang diperlukan ialah salinan Sijil Kad Kesihatan yang masih sah, salinan Sijil Kursus Pengendalian Makanan dan salinan Kad Pengenalan yang disahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Pemohon juga perlu menyertakan satu gambar produk jualan (berwarna dan dalam bentuk digital ‘soft copy’).
“Kegagalan untuk memuat naik dokumen-dokumen yang telah dinyatakan itu akan menyebabkan permohonan ditolak,” katanya.
Pertanyaan lanjut mengenai permohonan itu katanya boleh diajukan kepada Bahagian Pengurusan Penjaja melalui talian 011-25198664, pada waktu pejabat bermula jam pagi hingga 5 petang. – Info X