KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengambil tindakan terhadap penganjur Songkran Sunset Splash Run selepas program itu didapati memberi kesan kepada kebersihan dan keselamatan awam.
Tindakan itu, jelasnya selaras dengan peruntukan undang-undang dan garis panduan yang berkuatkuasa.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, DBKK menegaskan ia memandang serius perkara itu kerana melibatkan kepatuhan kepada syarat kelulusan acara dan kebersihan bandar raya Kota Kinabalu.
“Hasil pemantauan mendapati terdapat beberapa aspek pelaksanaan yang tidak mematuhi sepenuhnya syarat-syarat yang diluluskan, khususnya melibatkan
kaedah penggunaan air serta impak kebersihan dan keselamatan di kawasan awam.
“Sehubungan dengan itu, DBKK memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kepatuhan kepada syarat kelulusan acara dan kebersihan Bandaraya Kota Kinabalu.
“Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak penganjur selaras dengan peruntukan undang-undang dan garis panduan yang berkuatkuasa
“Pihak penganjur diarahkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta-merta dan memastikan keadaan kembali seperti sedia kala,” katanya.
Kenyataan itu menyebut, DBKK menegaskan bahawa semua penganjuran acara di bandar raya Kota Kinabalu perlu mematuhi sepenuhnya syarat kelulusan serta perlu mengutamakan aspek keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan orang awam.
“DBKK komited untuk terus menyokong penganjuran acara yang memberi manfaat kepada Bandaraya Kota Kinabalu, namun tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran syarat dan peraturan,” katanya.
Terdahulu, DBKK menyatakan penganjuran program larian oleh mana-mana pihak adalah disarankan kerana dilihat memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan di samping menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti komuniti.
Namun, katanya DBKK tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran program itu dan sebarang kelulusan yang diberikan adalah tertakluk sepenuhnya kepada pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai ‘Pesta Songkran’ atau Pesta Air yang berasal dari Thailand yang diadakan di ibu negeri.
Penganjuran program itu dikecam pelbagai pihak kerana disifatkan membazir air ketika ramai penduduk di sekitar bandar raya berdepan masalah air disebabkan keadaan panas dan kering ketika ini.
Penganjur program itu mendakwa air yang digunakan dalam acara berkenaan adalah berbayar. – Info X