SANDAKAN: Parti Warisan meminta agar agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan orang ramai supaya tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia, di sini.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata mangsa memerlukan bantuan penempatan sementara, keperluan makanan, pakaian, peralatan asas dan bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka.
Beliau menegaskan bahawa kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan Parti Warisan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa.
“Segala bentuk bantuan yang boleh diselaraskan akan diusahakan agar mangsa tidak dibiarkan berdepan kesusahan bersendirian,” katanya selepas melawat mangsa dan meninjau lokasi bencana, di sini, pada Ahad.

Bekas Ketua Menteri itu turun seawal jam 8.30 pagi untuk meninjau sendiri keadaan mangsa yang terlibat dan menilai tahap kerosakan dialami penduduk akibat insiden itu.
Turut mengiringi beliau ialah ADUN Sekong, Alias Sani; Calvin Chong (ADUN Elopura), Alex Wong (ADUN Karamunting) dan Lisa Alban (ADUN Sungai Sibuga).
Sepanjang lawatan itu, Shafie bersama pemimpin Parti Warisan meninjau kawasan yang terjejas teruk, melihat sendiri rumah musnah dijilat api dan keadaan persekitaran yang belum pulih sepenuhnya.

Beliau juga meluangkan masa beramah mesra dengan mangsa kebakaran, mendengar sendiri keluhan mereka dan mendapatkan maklumat berkaitan keperluan segera yang diperlukan.
Selepas lawatan ke lokasi kejadian, Ahli Parlimen Semporna itu turut ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi meninjau keadaan mangsa.
Shafie menyatakan rasa simpati dan dukacita terhadap nasib yang menimpa penduduk Kampung Bahagia serta berharap semua mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian berat itu. – Info X