PENAMPANG: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah nekad merempuh sebuah kereta ketika cuba meloloskan diri daripada polis dalam operasi di Jalan Penampang Baru, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, suspek berusia 26 tahun yang memandu Perodua Axia turut bertindak agresif dan bergelut dengan anggota polis sebelum berjaya diberkas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas mengesan kenderaan terbabit yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Katanya, ketika pasukan polis cuba menahan kenderaan berkenaan, suspek bertindak merempuh sebuah Proton Saga yang menghalang laluannya dalam cubaan melarikan diri.
“Selepas kenderaan berjaya ditahan, suspek sekali lagi cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis.
“Pasukan serbuan kemudian menggunakan kekerasan minimum sebelum berjaya menahan suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alhusin berkata, hasil soal siasat awal membawa kepada penemuan sebuah bekas lutsinar yang mengandungi paket plastik disyaki berisi dadah jenis ekstasi.
“Pemeriksaan lanjut menemui 11 paket plastik berwarna perak bertulisan ‘PUMPKINS’ dan berlogo labu mengandungi serbuk disyaki ekstasi dengan berat keseluruhan 370.74 gram.
“Polis turut merampas sebuah Perodua Axia dan telefon bimbit iPhone 15 Pro untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu bas pelancong dibawa bersama semua barang rampasan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan serta mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X