Search

Warisan, KDM dan STAR dijangka bergabung hadapi PRU16

August 9, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal mendedahkan kemungkinan akan bekerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Masyarakat (KDM) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Shafie menyatakan kemungkinan kerjasama itu ketika ditanya wartawan, sama ada mereka akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen pada PRU16 nanti.

“Kita akan lihat dulu, kita tengah teliti secara terperinci, apa yang penting kita perlu menang pilihan raya ini.

“Keduanya, saya juga telah halusi perbicangan dengan rakan-rakan saya sama ada STAR, sama ada parti KDM dilihat seumpama itu bagaimana, kalau dilihat ianya satu dapat kita realisasikan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Warisan, di sini, hari ini.

Bekas ketua menteri itu bagaimanapun enggan mendedahkan bagaimana kerjasama itu akan berlaku, namun menegaskan apa yang penting suara rakyat Sabah harus kuat di Parlimen.

“Belum muktamadkan perkara yang perlu dibuat, saya belum mahu mendedahkan dulu…tapi saya rasa jelas di fikiran rakyat ketika ini, mereka mahu suara orang Sabah,” katanya.

Beliau turut berkata, adalah penting kerusi-kerusi di Sabah dimenangi oleh ‘anak Sabah’ atau parti tempatan bagi membolehkan suara-suara rakyat Sabah terus didengar kerajaan.

“Jadi 25 kerusi ini yang pentingnya bagilah kepada anak Sabah…di Semenanjung 166 kerusi dan selepas itu kita cuma 25, sudahlah kamu mau (ambil) lebih 160 kerusi, kami (di Sabah) yang hanya ada 25 kerusi kamu mau ambil lagi, mana orang Sabah punya suara ini?,” katanya. – Info X