Search

Pengguna elektrik di Sabah masih dikecualikan surcaj ICPT

December 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju meneruskan pengecualian surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) pengguna elektrik di negeri ini bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2025 membabitkan peruntukan RM50.9 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengecualian itu diberikan kepada pengguna domestik dengan unit penggunaan elektrik 1,500 kWj dan ke bawah atau bil elektrik bulanan sekitar RM677.

Katanya, insentif itu turut dinikmati pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah, iaitu Kategori CM1 dan ID1 yang terdiri daripada golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Bagi pengecualian surcaj ini, jerajaan negeri akan memperuntukkan subsidi ICPT sebanyak RM50.9 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah yang dipengerusikannya pada awal bulan ini.

Ketua Menteri berkata kerajaan negeri juga sudah memohon bantuan subsidi bahan api sebanyak RM278 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi menangani peningkatan kos penjanaan tenaga akibat kenaikan kos bahan api.

Katanya, bantuan subsidi kepada Sabah Electricity dan pemegang Lesen Awam itu akan memanfaatkan 693,834 pengguna atau 99 peratus daripada jumlah keseluruhan pengguna elektrik di Sabah.

Bagi pengguna kategori lain, katanya khususnya pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj dan pengguna bukan domestik voltan sederhana atau pengguna besar serta lampu jalan awam, kadar surcaj yang dikenakan adalah kekal pada 4.06
sen/kWj. – Info X