KOTA KINABALU: Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Lintas, berhampiran Jesselton Medical Centre (JMC), di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, mangsa lelaki warga tempatan berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian membabitkan motosikal SYM ditunggang mangsa dan sebuah Perodua Myvi yang dipandu lelaki tempatan berusia 23 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila penunggang motosikal yang berada di tengah garisan putus antara lorong tengah dan kanan cuba mengelak sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux (nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan) yang memotong dari lorong tengah ke kanan.
“Penunggang motosikal kemudian membrek secara mengejut sebelum dilanggar dari belakang oleh kereta Perodua Myvi yang berada di belakang.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke lorong kiri jalan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth (HQE),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kasim berkata, pemandu Perodua Myvi cedera di kepala dan dada dan sedang menerima rawatan di Zon Kecemasan HQE.
“Polis menyeru kepada mana-mana saksi bebas yang melihat kejadian ini supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Orang awam yang mempunyai rakaman dashcam di laluan berkenaan juga diminta untuk menghubunginya pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802,” katanya. – Info X