Search

Pengurus Besar NAFAS digantung tugas

October 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menggantung tugas Pengurus Besarnya, Muhammad Faris Arriffin atas dakwaan kesalahan tatakelola membabitkan salah guna kewangan pertubuhan itu.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS memaklumkan tindakan itu dibuat AJP NAFAS sendiri yang diketuai Datuk Zamri Yaakob selaku Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS.

Katanya, tindalan itu sebagai susulan beberapa penemuan pelanggaran tatakelola terkait dengan kewangan NAFAS, iaitu dana milik ahli dalam pergerakan itu.

“Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah NAFAS bil 5/2024 yang bersidang pada 22 Oktober 2024 memutuskan untuk menggantung tugas Pengurus Besar dan membentuk satu pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci pelanggaran tatakelola serta meneliti setiap penemuan dan laporan berkaitan perkara tersebut.

“Jemaah Pengarah NAFAS telah mendapati berlaku pelanggaran tatakelola yang ketara apabila terdapat penyaluran kewangan NAFAS kepada badan kerajaan atau NGO yang langsung tidak berkaitan dengan pergerakan Pertubuhan Peladang (PP) dan ia juga adalah di luar pengetahuan Jemaah Pengarah NAFAS keseluruhannya,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, hasil siasatan dan penemuan lanjut akan diambil tindakan wajar melibatkan peraturan dan perundangan semasa, selain melibatkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab.

Jelas kenyataan itu, NAFAS yang berfungsi sebagai sebuah pertubuhan adalah bergerak bersandarkan saham dan modal ahli yang melibatkan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan ahli individu.

Katanya, atas teras pergerakan itu yang dipanggil Pergerakan Pertubuhan Peladang (PP), maka setiap urusan perbelanjaan dan kewangan mesti mengutamakan perjalanan pertubuhan.

“NAFAS adalah sebuah pertubuhan yang mengambil berat setiap saranan kerajaan berkaitan pemantapan tatakelola dan agenda reformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan bagi membentuk Malaysia Madani.

“Oleh itu NAFAS akan bertindak tegas atas setiap kepincangan tatakelola yang boleh mengganggu gugat agenda kerajaan untuk mencapai matlamatnya,” kata kenyataan itu. – Info X