KOTA KINABALU: Tindakan kerajaan negeri menarik diri daripada menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 disifatkan sebagai sesuatu yang merugikan negeri ini.
Bekas atlet bola tampar Sabah, Razif Abdillah, berkata alasan kekurangan kemudahan yang bersesuaian untuk menganjur kejohanan berprestij itu adalah satu gambaran kelemahan pentadbiran kerajaan khususnya dalam pembangunan sukan selama ini.
Katanya, tahap kesediaan sukan di Sabah sepatutnya sudah lama ada jika pentadbiran dalam pembangunan kemudahaan sukan diberikan penekanan dan perhatian, selain mempunyai pelan jangka panjang yang efektif di bawah kerajaan semasa atau sebelum ini.
“Sukan adalah medium di mana anak muda berkecimpung seterusnya tempat persaingan bakat yang akan membuka laluan untuk ke peringkat seterusnya.
“Peluang yang terhidang ini bukan selalu diperolehi, namun akibat kurang peka terhadap pembangunan kemudahan sukan maka ianya adalah kerugian menyeluruh untuk negeri Sabah dan warganya.
“Kami rakyat Sabah faham dengan kekangan dan ia mungkin norma biasa untuk menganjak kepada sesuatu, namun perbandingan nyata kita dapat dilihat apabila Kerajaan Sarawak sangat mengalu-alukan dan menunjukkan kesediaan tinggi sebagai rakan penganjur bersama temasya itu.
“Adakah kita boleh menyatakan dengan jelas yang negeri Sabah sangat ketinggalan berbanding Sarawak? Jadi, apakah aspirasi pimpinan kini dan sebelum ini terhadap perkara sebegini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas jawapan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Parlimen pada Isnin yang mengesahkan penarikan diri Sabah untuk menjadi penganjur bersama sukan serantau itu.
Sebelum ini, Sabah dikatakan bersetuju menjadi penganjur Sukan SEA 2027 bersama kerajaan Sarawak dan Pulau Pinang, selain kerajaan Persekutuan sebelum dimaklumkan belum ada persetujuan rasmi terutama berkaitan komitmen kewangan bagi penganjuran sukan berkenaan.
Razif yang juga Timbalan Ketua Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) Sabah, berkata penarikan diri Sabah itu bukan saja kerugian kepada atlet negeri ini yang tersenarai untuk bertanding kelak, namun ia juga satu kerugian kepada peminat sukan tempatan untuk melihat secara langsung perlawanan berprestij tinggi itu di sini.
“Paling utama adalah kerugian dalam sektor lain seperti industri perhotelan, makanan dan juga pelancongan yang terlepas begitu saja akibat kelemahan nyata daripada pengurusan pentadbiran sukan.
“Apa yang saya harapkan, satu tindakan drastik perlu dimulai khususnya oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah melalui kerajaan negeri dalam merangka persiapan untuk temasya sukan yang berskala besar pada masa akan datang,” katanya. – Info X