Search

Penjawat awam didakwa kemuka tuntutan elaun palsu RM19,100

June 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi menuntut elaun kerjanya berjumlah RM19,100 pada 2017.

Tertuduh, Nazri Hamburg, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga ketika dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 2 Oktober 2017 tertuduh mengemukakan satu dokumen penyata tuntutan elaun ketika menjalankan tugas rasmi bertarikh 12 Jun 2017 yang diberikan kepada Pembantu Tadbir (Kewangan) di jabatan yang beliau bertugas.

Dokumen terbabit mengandungi butiran palsu iaitu bil tuntutan sebuah syarikat pengangkutan bertarikh 12 Mei 2017 bagi perkhidmatan penghantaran kenderaan jenis sedan dan pacuan empat roda ke Papar serta bayaran untuk tiga pekerja yang terbabit dalam kerja pemindahan dan pengangkutan barang.

Bagaimanapun, perkhidmatan yang didakwa dalam tuntutan berjumlah RM19,100 itu didapati tidak pernah dilaksanakan.

Berikutan itu, tertuduh berdepan tindakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Tertuduh turut diperintah melapor diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan, manakala tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Julai depan. – Info X