LAHAD DATU: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Silam mengadakan program ziarah kasih bagi membantu masyarakat kurang bernasib baik di sekitar kawasan DUN Silam, bermula hari ini.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Silam, Harun Batarasa, berkata ziarah itu bagi menyampaikan sumbangan bakul makanan dan bantuan wang tunai kepada penduduk kurang berkemampuan atau yang sedang sakit di rumah mereka.
“Selain sumbangan, pihak UPPM turut menziarahi beberapa penduduk yang sakit di rumah mereka sebagai tanda prihatin dan sokongan moral,” katanya, di sini.

Program itu, katanya adalah inisiatif kasih sayang dan penghargaan daripada pihak UPPM dan Kerajaan Negeri Sabah kepada rakyat, khususnya mereka yang memerlukan bantuan dan perhatian.
“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat meringankan beban penduduk dan menguatkan hubungan silaturahim antara rakyat dan pihak kerajaan,” katanya. – Info X