Search

Penjawat awam mengaku tidak bersalah cadang nama saudara penerima Rumah Mesra SMJ

March 6, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyalah guna jawatan dengan mencadangkan dua individu yang mempunyai talian saudara dengannya sebagai penerima bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) pada 2022.

Tertuduh, Herman Idris, 52, yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) DUN Elopura, didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Herman membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elsie Primus ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Sandakan, di sini, pada Jumaat.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencadangkan nama Amir Bin Ismail, 70, sebagai penerima bantuan kemiskinan Rumah Mesra SMJ dalam Mesyuarat Focus Group Daerah Sandakan di Bilik Persidangan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pada 26 September 2022.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mencadangkan nama Siti Nor Amira Binti Amir, 31, sebagai penerima bantuan yang sama di tempat dan pada tarikh yang sama.

Kedua-dua nama yang dicadangkan tertuduh berjaya dipilih sebagai penerima bantuan rumah berkenaan yang masing-masing bernilai RM70,000 sebuah.

Berikutan itu, tertuduh berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan RM6,000 sebagai deposit terhadap tertuduh dan memerintahkan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh turut diperintah melapor diri dua bulan sekali di Pejabat SPRM Sandakan, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 1 April depan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon. – Info X