KENINGAU: Seorang Penolong Jurutera ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dalam pelaksanaan 15 projek kerajaan dipercayai bernilai kira-kira RM1.9 juta di daerah ini.
Suspek lelaki berusia 45 tahun yang bertugas di Pejabat Daerah Keningau difahamkan ditahan kira-kira jam 3.50 petang semalam sebelum direman tujuh hari bermula hari ini hingga 13 Oktober depan.
Perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Keningau bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Siasatan dijalankan susulan maklumat berhubung pelaksanaan projek kerajaan antara 2021 hingga 2024, apabila suspek dipercayai menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk melantik syarikat tertentu serta mengesahkan Sijil Pengesahan Siap bagi kerja yang dilaksanakan.
Syarikat berkenaan dipercayai milik isteri suspek dan bertindak sebagai subkontraktor kepada projek yang diperoleh daripada Pejabat Daerah Keningau.
Kesemua 15 projek yang disiasat itu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.9 juta.
Suspek ditahan SPRM Sabah pada 5 Oktober lalu sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Keningau hari ini untuk permohonan reman.
Permohonan reman dikendalikan Pegawai Penyiasat SPRM, Abang Nazreen Abg Burhanudin, di hadapan Majistret Flavian Edward Henry.-Info X