TAMBUNAN: Seorang pekerja penurapan jalan maut selepas dihempap jentera penggelek jalan yang terbalik ketika melakukan kerja di Jalan Makatip, Kampung Makatip, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa lelaki berusia 70 tahun terperangkap di bawah jentera berkenaan sebelum dikeluarkan pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10 pagi sebelum tujuh anggota bersama jentera FRT dan EMRS digerakkan ke lokasi.
Katanya, pasukan tiba pada jam 10.14 pagi dan mendapati mangsa adalah pekerja sebuah syarikat pemborong yang sedang menjalankan kerja penurapan jalan di kawasan berkenaan.
“Mangsa dipercayai dihempap selepas jentera penggelek jalan terbabit terbalik dan menyebabkannya terperangkap di bawah jentera.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mitchell berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 10.55 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi terkawal dan tiada bahaya lain,” katanya. – Info X