TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mengugut mahu membakar rumah selain mengamuk dan membaling barangan ke arah bapanya yang berusia 84 tahun.
Kejadian berlaku di Kampung Tanah Merah, Jalan Tanjung Batu, di sini, apabila suspek yang juga anak kandung mangsa bertindak agresif sehingga menyebabkan warga emas itu bimbang keselamatan diri dan isterinya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai sering mengamuk dan merosakkan barangan di dalam rumah.
Katanya, suspek turut dipercayai pernah mengugut untuk membakar rumah berkenaan sehingga menyebabkan bapanya tampil membuat laporan polis.
“Bertindak atas laporan diterima, polis berjaya mengesan dan menahan suspek pada hari sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera membuat laporan polis sekiranya berdepan sebarang ugutan atau ancaman keselamatan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil. – Info X