LABUAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Rancha-Rancha, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, mangsa berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas bertembung dengan sebuah Toyota Harrier yang dipandu wanita tempatan berusia 44 tahun.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila SUV yang datang dari arah Rancha-Rancha menghala ke Kerupang memasuki laluan bertentangan.
Menurutnya, kenderaan itu kemudian bertembung secara hadapan dengan motosikal yang datang dari arah Pusat Bandar Labuan.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah sebelum dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.15 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Nukleus Labuan bagi tujuan bedah siasat.
“Pemandu kenderaan terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X