Search

Penunggang motosikal maut bertembung kereta di Kota Marudu

June 10, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Sumbilingon, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Ronaldo Ignasius, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian perut dan beberapa anggota badan lain.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang berada di laluan sah.

Menurutnya, ketika kejadian kereta berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 66 tahun dari arah Bulatan Timbang Batu menuju ke Bulatan Popok.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian perut dan anggota badan lain sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kota Marudu pada jam 6.18 petang.

“Pemandu kereta mengalami kecederaan ringan di kepala manakala penumpangnya, seorang wanita berusia 65 tahun, cedera pada bahagian bahu kiri dan menerima rawatan di Hospital Kota Marudu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Marudu untuk proses bedah siasat yang dijadualkan dijalankan hari ini.

Katanya, siasatan turut mendapati kedua-dua pemandu tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Menurut Simiun, keadaan jalan ketika kejadian adalah lurus dengan satu lorong dua hala dan garisan putih putus-putus di tengah jalan.

“Permukaan jalan didapati basah akibat hujan, namun keadaan cuaca masih terang pada waktu siang ketika kemalangan berlaku.

“Pemeriksaan mendapati kereta mengalami kerosakan pada bahagian hadapan manakala motosikal rosak teruk di bahagian depan,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X