KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan tindakan beberapa pemimpin yang keluar dari parti itu sebagai proses ‘pembersihan’ semulajadi.
Menerusi satu kenyataan pada Rabu, ADUN Senallang itu, berkata ia mungkin hikmah di sebalik perkembangan politik yang berlaku dalam parti berkenaan.
Katanya, Warisan akan menjadi lebih kuat apabila hanya ahli dan pemimpin yang benar-benar komited terhadap perjuangan parti kekal bersama mereka.
“Jika ada hikmah di sebalik perkembangan ini, ia adalah proses pembersihan yang berlaku secara semula jadi.
“Sesebuah gerakan politik menjadi lebih kuat apabila mereka yang benar-benar komited terus kekal, manakala mereka yang kesetiaannya bergantung kepada jawatan, pencalonan atau kepentingan peribadi memilih untuk pergi,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, pemimpin terbaharu yang meninggalkan parti itu bukanlah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.
Sebaliknya, beliau berkata mereka hanyalah segelintir bekas ketua bahagian dan bekas pemegang jawatan parti.
“Itu adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi dan saya mendoakan yang terbaik buat mereka.
“Hakikatnya cukup jelas. Kekuatan Warisan tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu. Kekuatan Warisan terletak pada ahli-ahli biasa, sukarelawan akar umbi dan rakyat Sabah yang terus percaya kepada perjuangan yang bersih dan berprinsip demi negeri ini,” katanya.
Katanya, dalam politik, sesebuah parti akan melalui pelbagai fasa dan mereka yang benar-benar ikhlas serta komited kepada perjuangan akan terus kekal.
Beliau berkata, mereka yang kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon atau kerana kehendak peribadi mereka tidak dapat dipenuhi, lazimnya akan memilih haluan yang berbeza.
“Warisan pernah melalui situasi seperti ini sebelum ini. Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, beberapa wakil rakyat yang menang atas tiket Warisan telah memilih untuk mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat.
“Mereka menjadi katak politik, melompat parti demi kepentingan sendiri walaupun dipilih atas kepercayaan dan sokongan pengundi Warisan. Namun Warisan terus berdiri teguh,” katanya.
Shafie mendakwa, ada yang meninggalkan parti kerana melihat politik sebagai soal apa yang boleh diberikan oleh parti kepada mereka, manakala mereka yang kekal pula memahami bahawa politik adalah mengenai apa yang boleh disumbangkan kepada Sabah.
Jelasnya, mereka yang mendakwa Warisan semakin lemah sudah mengulangi dakwaan yang sama berkali-kali selama ini.
“Mereka mengatakannya ketika wakil rakyat melompat parti, ketika pemimpin kanan meninggalkan parti, malah selepas pilihan raya tahun lalu.
“Namun Warisan tetap berdiri kerana perjuangan kami tidak pernah dibina atas jawatan, gelaran atau individu tertentu. Perjuangan ini dibina atas aspirasi rakyat yang mahukan masa depan yang lebih baik untuk Sabah.
“Mereka yang tidak mampu bertahan menghadapi ujian kesabaran ketika berada di blok pembangkang tidak akan mampu memikul tanggungjawab untuk mentadbir,” katanya.
Ahli Parlimen Semporna itu turut mengulangi perjuangan Warisan yang akan terus memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan hak-hak Sabah, memperkukuh ekonomi negeri, mewujudkan lebih banyak peluang untuk generasi muda serta membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat.
Katanya, apa yang berlaku hanyalah satu bab kecil dalam perjalanan perjuangan yang jauh lebih panjang.
“Warisan tetap utuh dan akan terus mara ke hadapan. Perjuangan untuk Sabah akan terus menjadi keutamaan kami,” katanya.
Semalam beberapa pemimpin Warisan Kota Belud dilapor meninggalkan parti selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu dan kemudiannya menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui kerajaan negeri. – Info X