KOTA KINABALU: Seramai 341 individu ditahan manakala pelbagai barangan dan wang tunai bernilai lebih RM1.1 juta dirampas menerusi 12 operasi khas membanteras sindiket calling center yang dijalankan di lima daerah di Sabah serta Labuan sejak Januari lalu.
Operasi dikenali sebagai ‘Ops Pelican’ itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sabah hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang menjadikan Sabah sebagai pangkalan operasi mereka.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak empat operasi dijalankan di Kota Kinabalu, masing-masing tiga di Tawau dan Labuan serta satu operasi di Sandakan dan Penampang.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket terbabit menjalankan pelbagai aktiviti jenayah komersil termasuk penipuan pelaburan tidak wujud, pelaburan saham palsu, love scam, pinjaman wang tidak wujud, penyamaran sebagai pegawai polis dan perjudian dalam talian.
“Mereka turut terbabit dalam aktiviti menerima serta memindahkan wang hasil penipuan selain menjalankan penipuan dan perjudian dalam talian rentas sempadan.
“Kebanyakan sindiket menggunakan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, Telegram, Kakao Talk, Line dan Band bagi memperdaya mangsa sebelum mengarahkan mereka membuat transaksi kewangan ke akaun yang dikawal sindiket,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Hadir sama, Ketua JSJK Sabah, Superintendan Yeoh Chun Shyan.
Beliau berkata, mangsa yang menjadi sasaran bukan sahaja rakyat Malaysia malah membabitkan warga beberapa negara lain termasuk Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat, Jepun, Brazil, Hong Kong dan Thailand.
Katanya, dalam operasi berkenaan, polis menahan 341 individu berusia antara 17 hingga 60 tahun yang dipercayai terbabit secara langsung dalam kegiatan sindiket calling center.
“Daripada jumlah itu, 305 adalah lelaki dan 36 perempuan. Mengikut kewarganegaraan pula, seramai 303 adalah warga China, 27 warga Malaysia, sembilan warga Vietnam serta masing-masing seorang warga Taiwan dan Laos.
“Siasatan mendapati kebanyakan suspek berperanan sebagai penyelia operasi, khidmat pelanggan, pengatur cara sistem, pengurus projek, pentadbir kewangan, penghantar wang serta individu yang mengendalikan komunikasi dengan mangsa,” katanya.
Selain tangkapan, beliau berkata polis turut merampas 1,109 telefon bimbit, 128 komputer dan desktop, 20 komputer riba, 18 modem serta peranti internet selain wang tunai berjumlah RM210,265.
“Turut dirampas ialah dokumen kewangan, kad SIM, skrip penipuan, peralatan komunikasi, dokumen transaksi serta uniform dan aksesori yang digunakan bagi tujuan penyamaran.
“Secara keseluruhan, sebanyak 1,542 barangan kes dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM1.107 juta,” katanya.
Jauteh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan selain beberapa peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, polis berjaya menuduh 11 daripada 12 kes yang disiasat manakala satu lagi kes masih dalam tindakan lanjut.
Sementara itu, beliau berkata JSJK Sabah akan terus memperhebat operasi risikan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan negeri ini tidak dijadikan pusat operasi sindiket penipuan tempatan mahupun antarabangsa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan, pinjaman mudah, urusan percintaan dalam talian serta panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa,” katanya. – Info X