Search

Penunggang motosikal maut bertembung kereta

October 18, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam nahas dengan sebuah kereta di Kilometer 11, Jalan Semporna – Tawau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan Proton Saga FLX.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu Proton Saga FLX dalam perjalanan dari pekan Semporna menuju ke Kampung Sungai Nasip Lihak- Lihak.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, dengan tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa yang berada di laluan bertentangan dari Kampung Sungai Nasip menuju ke pekan Semporna.

“Motosikal dipercayai termakan jalan dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Saga,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, akibat dari kejadian itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Semporna.

“Manakala pemandu Proton Saga seorang wanita berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X